Saturday, August 28, 2010

PENGENALAN


Topik tentang sistem pendidikan negara sentiasa mengundang pelbagai pandangan daripada semua pihak dalam masyarakat Malaysia. Walau bagaimanapun, ke mana sahaja arah perbahasan ini, kenyataannya adalah rangka tindakan pendidikan kita telah digubal dari sudut pandangan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih pendidikan mereka di negara ini.  Hal ini telah menjadi  satu harapan rakyat selaras dengan kemerdekaan negara. Kerajaan telah pun mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung hasrat itu. Mungkin kita patut melihat sokongan wakil-wakil rakyat sebagai satu permulaan yang positif untuk membuka ruang perbincangan dan tindakan selanjutnya bagi pelaksanaan sistem sekolah satu aliran di Malaysia.

Disediakan oleh: Sajitha bt Maidin (127590)

MATLAMAT PENUBUHAN


Matlamat  utama penubuhan sekolah satu aliran adalah  jelas iaitu untuk perpaduan nasional yang tulen, sejati dan harmoni selari dengan gagasan 1Malaysia. Bukan hanya bersemangat apabila bercakap tentang gagasan 1Malaysia dan terdiam apabila terpaksa berkorban untuk melaksanakan satu agenda yang jauh lebih besar dari itu.
Sekolah satu aliran perlu diterima sebagai satu wahana untuk membentuk identiti dan jati diri rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Identiti dan jati diri setiap kaum di negara ini akan terus wujud sebagai komponen yang penting yang mewarnai dan mewujudkan perpaduan sejati di Malaysia. Melalui sekolah satu aliran, murid kaum lain masih berhak mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional menerusi pendidikan.

                                               
Disediakan oleh: Kua Choon Sheng (206880)

PANDANGAN TOKOH...


Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim
Beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang dilaporkan sepakat menyokong cadangan tokoh sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim agar sistem persekolahan yang seragam diwujudkan untuk semua pelajar sebagai satu usaha mewujudkan perpaduan nasional. Alasannya ialah sistem yang ada sekarang tidak membantu merealisasikan perpaduan di kalangan pelbagai kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia. Sekolah pula dilihat sebagai antara acuan yang penting untuk membina generasi muda yang memahami dan saling menghormati antara satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa dan agama.




Tan Sri Aminuddin Wahid,
Sekolah satu aliran sepatutnya dilaksanakan sebelum merdeka lagi seperti yang dicadangkan 48 tahun lalu oleh Allahyarham Aminuddin Baki yang menjadi Penasihat Pelajaran Negara. Beliau menjangkakan masalah perkauman pasti akan timbul di kemudian hari berikutan setiap kaum mendapat pendidikan di sekolah berlainan.




Disediakan oleh: Mohamad Rais b. Fauzi (206545)

FAKTOR-FAKTOR PELAKSANAAN


Sekolah merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan hubungan integrasi pada peringkat awal. Oleh demikian, pihak kerajaan berusaha untuk melaksanakan sekolah satu aliran untuk memupuk perpaduan kaum. Pada masa yang sama, banyak pihak menentang pelaksanaan sekolah satu aliran tersebut kerana bimbang bahasa dan identiti kaum mereka terhakis. Justeru itu, nilai dan kepentingan tidak seharusnya menjadi perbalahan kerana pendidikan merupakan landasan terbaik dalam mewujudkan perpaduan di kalangan generasi muda.

Faktor yang seterusnya ialah sekolah satu aliran akan menyediakan satu persekitaran di mana remaja berbilang kaum bukan sahaja boleh melalui proses pembelajaran dengan selesa tetapi juga menyediakan ruang yang secukupnya untuk mereka berinteraksi dan memahami di antara satu sama lain. Ini merupakan satu proses menuju ke arah sebuah negara maju dalam erti kata saling memahami perasaan dan sensitiviti di kalangan rakyat yang berbilang kaum serta menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial.


Disediakan oleh:Wan Nur Aqilah Binti Wan Mohd Azmin (206925)

CABARAN DALAM MELAKSANAKAN...


·        SISTEM PENDIDIKAN YANG BERASINGAN
Di Malaysia,terdapat empat jenis buah sekolah yang terdiri daripada sekolah Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Keempat-empat buah sekolah ini menggunakan sukatan pelajaran yang berbeza. Hal ini menyebabkan ketidakseragaman bahasa, identiti dan fahaman. Keadaan ini,menimbulkan dampak dalam memupuk perpaduan rakyat Malaysia.

·        PERBEZAAN AGAMA DAN BUDAYA

Keseluruhan masyarakat Melayu di Malaysia menganuti agama Islam, masyarakat Cina pula menganuti agama Buddha, manakala masyarakat India menganuti agama Hindu. Bumiputra Sabah dan Sarawak tidak terkecuali kerana mereka mempunyai pelbagai kepercayaan. Perbezaan latar belakang rakyat sebegini menyukarkan perpaduan di bentuk, Namun masalah ini bukanlah terletak pada agama tetapi sikap manusia yang jahil menyebabkan perselisihan faham berlaku.


Disediakan oleh: Siti Fatimah Binti Othman (206888)

MENGAPA WUJUDNYA MASALAH PERPADUAN KAUM?


i)          Masyarakat
Ibu bapa di Malaysia boleh memilih sama ada mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa atau menghalang mereka dalam membuat keputusan. Bagaimanapun, apa yang kita lihat sekarang, terdapat ramai di kalangan ibu bapa kaum Cina dan India lebih berminat menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan bahasa ibunda masing-masing. Jika pengasingan pendidikan mengikut kaum ini berterusan, ia akan menghasilkan masyarakat yang terpisah di antara satu sama lain, mengakibatkan satu suasana segrasi dengan memiliki bibit perpecahan yang berbahaya.
ii)       Pihak Sekolah
Pendidikan telah lama dianggap sebagai satu elemen dalam menyatupadukan rakyat. Namun begitu, sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa pengantar bukan Melayu masih terus kekal bagi menjaga identiti kaum Cina dan India.  Sehingga kini, kita masih lagi berhadapan dengan kekangan untuk memupuk integrasi nasional di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun di peringkat sekolah menengah, kaum Melayu, Cina dan India serta kaum-kaum lain sama-sama mengikuti pembelajaran, tidak wujud semangat kekitaan yang menyeluruh. Masih wujud budaya prejudis dan stereotaip di negara ini.
iii)     Media massa
Pengaruh yang sangat mudah meresapi jiwa rakyat adalah media massa seperti televisyen, radio dan surat khabar. Elemen ini sepatutnya memainkan yang besar dalam menyatupadukan rakyat yang berbagai kaum ini. Didapati setiap kaum lebih suka kepada rancangan atau program televisyen dan radio yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Begitu juga dengan akhbar-akhbar yang dijual, permintaannya juga mengikut komposisi penduduk di mana setiap kaum cenderung memilih versi bahasa ibunda.

 Disediakan oleh: Tan Weoi Yi (207014)
  

KESAN PENUBUHAN SEKOLAH SATU ALIRAN


Kewujudan sekolah satu aliran ini melangkaui sempadan kaum dan budaya. Hal ini akan menimbulkan beberapa implikasi dalam pelbagai aspek terutamanya di kalangan pelajar sendiri.
Antara kesan positif kewujudan sekolah satu aliran ialah dapat menyemai dan memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar, membuka ruang masa dan tempat untuk saling mengenali dan memahami etika kemanusiaan tersendiri dan dapat perpaduan nasional dapat dicapai melalui sistem pendidikan satu aliran yang sistematik.  
Antara kesan negatif kewujudan sekolah satu aliran ialah masalah pertukaran agama kerana sekolah satu aliran terdiri daripada pelajar yang berlainan agama.  Masalah ini mungkin berlaku kepada pasangan yang berlainan agama. Terutama kepada pelajar perempuan yang beragama Islam. Jika masalah ini tidak dibendung dari awal mungkin akan menjatuhkan imej penganut agama Islam. Penghapusan etnik dan budaya yang memungkinan kelab kebudayaan dari sekolah Cina ataupun Tamil sebelum ini akan dihadkan apabila sekolah dan kaum telah bergabung kerana mereka terpaksa mencantumkan kebudayaan antara tiga kaum menjadi satu.

Disediakan oleh: Muhammad Shahidan b. Mohammad (206567)

CONTOH SEKOLAH SATU ALIRAN


Sekolah Victoria Institution (sekolah VI) yang merupakan contoh terbaik sekolah satu aliran di negara ini. Lihat sahaja semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah itu. Lihat sahaja bagaimana mesranya pelajar-pelajar dari ketiga-tiga kaum bergaul mesra dan bersaing secara sihat dalam pelajaran. Kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran wajar mengkaji model sekolah VI ini dan menjadikannya sebagai asas atau model untuk membentuk sekolah satu aliran di negara ini. Setakat ini sekolah VI amat popular dan menjadi rebutan pelajar serta ibu bapa daripada semua kaum.

Disediakan oleh: Teo Yew Meng (206879)

ISU YANG TERCETUS..!


Bantahan daripada pelbagai pihak terhadap cadangan penubuhan sekolah satu aliran memperlihatkan mentaliti perkauman di negara ini. Hakikatnya, Perdana Menteri menyatakan bahawa sistem pendidikan satu aliran sebenarnya telah pun diamalkan tetapi kebanyakan daripada kita tidak faham peranan sistem sekolah kebangsaan. Mereka yang menentang cadangan sekolah satu aliran ini adalah mereka yang tidak mengutamakan cita-cita dan rakyat Malaysia untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu. Sebelum ini pun terdapat pihak yang menentang dan membantah penubuhan Sekolah Wawasan dan meminta pihak kerajaan menarik balik cadangan membina sekolah itu di Subang Jaya, Selangor dan Johor Jaya, Johor. Alasan mereka menolak Sekolah Wawasan kerana bimbang penggunaan bahasa Cina dan bahasa Tamil akan dihapuskan manakala sekolah itu juga dilihat tidak boleh menyatupadukan kaum. Walau bagaimanapun kerajaan tidak akan menghalang dasar sekolah pelbagai aliran sekarang diubah kepada satu aliran jika itu yang rakyat mahukan dan mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum. Rakyat terutamanya kaum India dan Cina tidak harus bimbang dengan cadangan ini kerana kerajaan akan mendengar suara rakyat sebelum memutuskan sesuatu. 


Disediakan oleh: Nazialita Geynna Maharan (203513)





Friday, August 27, 2010

KESIMPULAN

Kesimpulan yang  dapat kita lihat, walaupun sekolah satu aliran merupakan satu usaha yang sukar malah mendapat tentangan dari sesetengah pihak tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan jika terdapat sokongan moral daripada semua pihak yang terlibat sama dalam melaksanakannya. Pendidikan telah lama dianggap sebagai satu elemen penting bagi menyatupadukan rakyat. Generasi awal terutamanya para pelajar sekolah rendah perlu didedahkan betapa pentingnya perpaduan dalam arus masyarakat Malaysia yang besifat majmuk ini. Mahu atau tidak, perkara ini turut melibatkan sistem pendidikan negara kerana melalui pendidikan, generasi pelajar dapat membentuk dan mencorakkan masyarakat Malaysia pada masa hadapan. Matlamat ini selaras dengan pepatah Melayu iaitu “ melentur buluh biarlah dari rebungnya”.Sistem persekolahan yang seragam mampu mewujudkan perpaduan nasional selaras dengan gagasan satu Malaysia. "1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".
Disediakan oleh: Noor Shahieda bt. Mohd Hishamuddin (128425)